[VIDEO] Dikatakan kejar tol percuma, pemandu rempuh kereta lain di Plaza Tol Sungai Dua


  • Tular
  • Isnin, 13 Nov 2023

Tangkap layar kejadian dua buah kereta berlanggar di Plaza Tol Sungai Dua pada Ahad malam.

SATU tragedi berlaku selepas dua buah kereta terbabas dalam usaha mendapatkan tol percuma pada pukul 11.57 malam Ahad di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang.

Rakaman berdurasi 47 saat itu memaparkan sebuah kereta Perodua Alza terbalik, manakala sebuah kereta Toyota Harrier yang berada di lorong tol sebelah kanan berada dalam keadaan remuk.

Menurut seorang pengguna @MommyRara, kereta terbabit cuba memecut kerana ingin menikmati tol percuma yang akan tamat pada pukul 11.59 malam Ahad.

Pada masa yang sama, seorang saksi kejadian @SaifulMagisworld berkata, dua buah kereta terbabit cuba menukar lorong dan tidak sempat menekan brek sehingga insiden terbabit berlaku.

Rakaman turut menunjukkan kereta Toyota Harrier itu dipandu oleh seorang remaja bawah umur yang tiada lesen.

Sementara itu, sebuah lori trak tunda datang bagi membantu untuk menunda sebuah kereta yang terbalik itu.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet berasa tindakan mereka mengejar tol percuma hanya sia-sia kerana insiden ini menyebabkan kerugian yang dahsyat.

"Daripada mahu cuba dapatkan tol percuma, akhirnya perlu bayar juga," kata Clefella.

"Dari bayar 50 tol sekarang perlu bayar RM5,000 pula," kata Luqman.

"Sekarang perlu siapkan duit untuk baiki kereta pula," kata Zainon Zai.

"Aku kalau tengok budak belasan tahun bawa kereta ini memang tiba-tiba naik darah," kata sepet_kamikaze yang mendakwa pemandu tersebut merupakan seorang remaja berusia belasan tahun.

Setakat berita ini ditulis, belum ada kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram