[VIDEO] Barang rumah rosak, atap bocor kena ribut di Taman Meru


  • Tular
  • Isnin, 13 Nov 2023

Tangkap layar video memaparkan keadaan dalam sebuah rumah akibat kejadian ribut di Taman Meru, Ipoh pada Isnin.

MALANG tidak berbau apabila keadaan sebuah rumah di Taman Meru, Ipoh, Perak rosak dan dimasuki air akibat angin kencang serta ribut yang melanda kawasan itu selepas dilanda hujan berterusan lebih dua jam pada Isnin.

Kejadian itu sempat dirakam dan dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook Arrow Mohd Salleh yang dipercayai ahli keluarga mangsa ribut itu.

Menurutnya, kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 4 hingga 5 petang.

Menerusi salah satu video yang dimuat naik, keadaan dalam rumah dilihat berantakan dengan ruang tamu dibanjiri air hujan berpunca daripada atap bumbung yang bocor.

Manakala, di bahagian dapur pula kelihatan beberapa barang keperluan yang turut rosak ekoran kejadian yang berlaku.

Selain itu, terdapat juga video lain yang memaparkan keadaan ketika kejadian ribut berlaku di kawasan perumahan itu.

Dalam video tersebut, beberapa barangan dan serpihan atap tercabut diterbangkan angin kuat serta kilat sabung-menyabung.

msg1050426791-18814

Keadaan ketika ribut melanda kawasan perumahan Taman Meru.

Dalam pada itu, Angkatan Pertahanan Awam Negeri Perak dalam satu kenyataan berkata, dianggarkan lebih 40 buah rumah terjejas akibat ribut di Taman Meru 2C.

"Sepasukan anggota dan ambulans menuju ke lokasi bagi memantau dan membuat penilaian risiko di kawasan ribut, setakat ini tiada kecederaan dilaporkan," katanya.

Tinjauan Bernama mendapati daripada jumlah itu terdapat lebih 10 buah rumah terjejas teruk apabila sebahagian besar bumbung rumah diterbangkan ribut.

Di kawasan D’Aman Residency Meru Raya pula, puluhan penduduk terpaksa menunggu di tepi jalan dan di dalam kenderaan apabila laluan masuk dari jalan besar ke kawasan kediaman mereka ditenggelami air.

Air didapati naik sehingga paras paha menyebabkan kereta dan motosikal gagal melalui kawasan itu selain beberapa kenderaan juga ditenggelami air.

Seorang penduduk Nurhafizah Zainal Abidin, 30, berkata, dia yang menaiki motosikal selepas pulang daripada kerja di sebuah farmasi mendapati laluan ke rumahnya telah dinaiki air.

"Saya kena tunggu juga, jika nak jalan kaki pulang pun, motosikal ni takut kena curi pula,” katanya yang telah dua tahun menetap di situ bersama ibu dan bapa saudaranya.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Afifah, 39, pula berkata, selama empat tahun tinggal di kawasan berkenaan, memang ada berlaku banjir kilat tetapi kejadian petang ini adalah antara yang terburuk.

Katanya biasanya air akan surut selepas dua atau tiga jam hujan berhenti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram