[VIDEO] Hujan lebat dan ribut, 5 kenderaan rosak dihempap pokok tumbang di Kota Damansara


  • 112
  • Rabu, 01 Nov 2023

Tangkap layar lima kenderaan di Kota Damansara rosak dihempap sebatang pokok pada Rabu.

HUJAN lebat dan ribut di beberapa kawasan di sekitar Selangor menyebabkan beberapa kenderaan rosak akibat dihempap pokok tumbang pada Rabu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya telah menghantar jentera ke kawasan terlibat susulan kejadian itu.

Beliau berkata, antara lokasi yang terjejas adalah di Jalan PJU 5/15 di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor apabila sebatang pokok menghempap lima kereta kira-kira pukul 3.36 petang Rabu.

"Selain itu, turut terjejas ialah kawasan Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara membabitkan tujuh batang pokok tumbang dan menghalang jalan serta lalu lintas pada pukul 3.31 petang Rabu.

"Kejadian yang sama turut berlaku di Jalan Pulau Angsa, Bandar Nusa Rhu, Shah Alam, Selangor pada pukul 4.20 petang yang melibatkan dua batang pokok tumbang dan menghalang jalan,” katanya.

Ahmad Mukhlis berkata, kerja-kerja mengalihkan pokok sedang dilakukan dan kejadian tidak melibatkan mangsa.

Sementara itu, Pengurusan Taman Botani Negara Shah Alam menerusi Instagramnya memaklumkan bahawa taman itu ditutup pada Khamis bagi kerja pembersihan susulan hujan lebat dan ribut yang berlaku petang Rabu.

"Demi keselamatan bersama, Taman Botani Negara Shah Alam ditutup pada Khamis sehingga kerja-kerja pembersihan selesai dilaksanakan dan keadaan membenarkan,” menurut hantaran itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram