Pasukan perubatan KKM ke Palestin bakal diberi latihan persediaan rawat mangsa perang


  • Primer
  • Isnin, 13 Nov 2023

KKM bersedia akan menghantar bantuan pasukan perubatan dari Malaysia ke Gaza. — Bernama

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) bersedia dan telah mengenal pasti pasukan perubatan bantuan yang boleh digerakkan ke Semenanjung Gaza sebaik sahaja kebenaran diberikan.

KKM dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, penghantaran pasukan berkenaan masih belum dibenarkan kerana mengambil kira keadaan semasa peperangan yang berlaku di kawasan itu.

Menurut kenyataan itu, penghantaran pasukan itu akan dibuat menerusi kerjasama Kementerian Luar Negeri (KLN) dan agensi awam lain serta koordinasi oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.

"Pasukan perubatan itu akan didedahkan dengan latihan persediaan yang bersesuaian kerana mereka dijangka terlibat dalam merawat mangsa peperangan,” katanya.

Sementara itu, menurut KKM, penghantaran alat guna habis consumables dan ubat-ubatan dalam siri penghantaran bantuan kali ketiga akan dilaksanakan dalam tempoh yang terdekat.

Penghantaran bantuan kemudahan perubatan pertama dari Malaysia telah dilaksanakan pada 3 November lepas, manakala penerbangan kedua dibuat pada 11 November, masing-masing sebanyak 20 tan.

Menurut KKM, penyediaan bantuan kemudahan perubatan untuk dihantar ke Palestin itu dibuat menerusi kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan KLN.

msg1050426791-18800

Penduduk Palestin yang kini semakin tenat dibedil rejim Zionis. — Agensi

Bantuan tersebut meliputi alat-alat consumable seperti pam picagari, sutur, kanula IV, peralatan pembalut luka, perkhidmatan neurosurgeri dan pembedahan trauma, kemudahan peralatan seperti katil perubatan dan ubat-ubatan yang bersesuaian.

Kementerian itu memaklumkan, penambahan kemudahan berkenaan bertujuan menampung keperluan perkhidmatan yang mendesak dan sangat diperlukan oleh rakyat Palestin di Gaza buat masa ini.

KKM turut menegaskan tindakan pengeboman ke atas hospital merupakan suatu tindakan yang melanggar hak asasi manusia, tidak berperikemanusiaan serta bertentangan dan melanggar Konvensyen Antarabangsa Geneva.

Menurut KKM lagi, ia perlu dihentikan serta-merta bagi membolehkan hospital yang masih beroperasi dapat terus memberikan bantuan perawatan perubatan kepada rakyat Palestin yang tercedera.

Kementerian turut memaklumkan menerusi maklumat yang disampaikan oleh Gaza-Medics Worldwide, daripada sejumlah 35 hospital yang terdapat di Gaza, satu pertiga telah musnah dan memerlukan usaha untuk memulihkannya, selain menambah baik kemudahan perkhidmatan perubatan di hospital yang masih beroperasi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram