[VIDEO] Bot Indonesia hilang kawalan, rempuh jeti, 2 kapal layar di Klang


  • 112
  • Ahad, 12 Nov 2023

Tangkap layar video memaparkan kejadian bot tersebut hilang kawalan akibat masalah kegagalan enjin sehingga melanggar jeti di Royal Selangor Yacht Club, Pelabuhan Klang, Selangor pada Ahad.

SATU kejadian mengejutkan berlaku di jeti Royal Selangor Yacht Club, dekat Pelabuhan Klang, Selangor pada pagi Ahad selepas sebuah bot barter trade hilang kawalan sebelum melanggar dua buah kapal layar yang berada di lokasi kejadian.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan insiden tersebut sekitar pukul 7 pagi.

Ujarnya, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca selepas bot terbabit yang dikenal pasti sebagai KLM Maulana Hasil Abadi dari Indonesia mengalami kerosakan enjin sebaik keluar dari Jeti Asa Niaga, Klang, Selangor.

"Kerosakan itu kemudian mengakibatkan bot hilang kawalan lalu merempuh jeti dan dua kapal layar di kawasan tersebut.

"Namun, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dan bot berkenaan berjaya dibawa ke Jeti Fulsail," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Sharenliza berkata, ketika kejadian, bot terbabit dinaiki sebanyak 15 kru dengan kesemuanya merupakan warga Indonesia.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai, terutama komuniti maritim agar sentiasa mementingkan keselamatan diri dan memeriksa keadaan bot agar tiada kerosakan sebelum melakukan aktiviti di laut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram