POLIS menahan enam remaja lelaki termasuk lima daripadanya yang masih bersekolah untuk siasatan kes rogol membabitkan pelajar perempuan berusia 14 tahun di Bagan Datuk pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kesemua suspek berusia 15 hingga 17 tahun itu ditahan selepas ibu mangsa membuat laporan pada pukul 8.30 malam Selasa apabila dimaklumkan pihak sekolah.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku di sebuah rumah sekitar Hutan Melintang, Bagan Datuk, Perak pada pukul 2.30 pagi, 24 September lalu.
"Mangsa dijemput seorang rakan sekolah yang dikenalinya dan dibawa ke sebuah rumah di Hutan Melintang.
"Semasa tiba di tempat kejadian, terdapat beberapa remaja lelaki yang dikenalinya sedang berehat di rumah itu.
"Dia didakwa diajak melakukan hubungan secara bergilir oleh lima remaja, kecuali lelaki yang membawanya ke rumah terbabit," katanya dalam kenyataan.
Ahmad Adnan berkata, polis bertindak menahan enam remaja lelaki dengan lima orang bersekolah sama dengan mangsa, manakala seorang remaja berusia 17 tahun sudah berhenti sekolah.
Menurutnya, suspek direman tiga hari bermula semalam (Rabu) untuk siasatan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol berkumpulan.
"Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram