Pemandu lori mengaku tidak bersalah 2 pertuduhan rogol anak tiri 11 tahun


Pemandu lori mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol anak tirinya. — Bernama

SEORANG pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas dua pertuduhan merogol anak tirinya di Nibong Tebal, Seberai Perai, Pulau Pinang pada 2018 dan 2019.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki berumur 29 tahun itu didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 10 tahun di sebuah rumah di Kampung Bagan Buaya, Nibong Tebal pada 11 malam Disember 2018.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 11 tahun, di lokasi sama pada pukul 9 pagi, 2019.

Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 30 tahun dan 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon supaya tiada sebarang jaminan ditawarkan memandangkan tertuduh difahamkan tinggal sebumbung dengan mangsa yang ketika ini berusia 15 tahun.

Bagaimanapun, tertuduh merayu supaya jaminan dibenarkan kerana dia masih menanggung keluarga termasuk tiga anak berusia lima bulan hingga tiga tahun.

Hakim Zulhazmi Abdullah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 21 November 2023 untuk sebutan semula kes.

Selain itu, tertuduh turut dikenakan syarat tambahan melarang dia mendekati dan mengganggu mangsa serta saksi sehingga kes selesai dan perlu tinggal berasingan daripada mangsa.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram