[VIDEO] Seorang maut, 5 cedera nahas kereta bertembung lori 1 tan


  • 112
  • Isnin, 06 Nov 2023

Kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 436.8 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Utara, Hulu Selangor pada Isnin.

SEORANG lelaki maut, manakala lima lagi cedera dalam nahas melibatkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 436.8 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Utara, Hulu Selangor, Selangor.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu kira-kira pukul 10.04 pagi.

Ahmad Mukhlis berkata, seramai 10 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah kereta Mazda 3 dan sebuah lori satu tan.

“Terdapat seorang lelaki tersepit di tempat duduk pemandu. Anggota bomba kemudian bertindak memotong pintu kereta itu menggunakan peralatan hidraulik sehingga mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Bagaimanapun, menurut Ahmad Mukhlis, pemandu Mazda 3 itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Lima mangsa dalam lori satu tan berjaya keluar sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

“Empat daripada mereka mengalami luka manakala seorang lagi sakit di bahagian dada telah dibawa ke hospital dengan menggunakan kenderaan awam,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram