[VIDEO] Wanita pandu Porsche lari ke China lepas terlibat kemalangan maut di AS


  • Benua
  • Ahad, 05 Nov 2023

Tangkap layar kemalangan yang melibatkan sebuah Porsche 911 pada 30 September lalu.

SEORANG wanita warga China dipercayai 'berlindung' di negaranya selepas terlibat dalam satu kemalangan sehingga menyebabkan kematian di Amerika Syarikat (AS) pada hujung September lalu.

Kejadian tersebut berlaku di Bellevue, Washington pada pukul 4 pagi 30 September lalu yang menyaksikan pemandu terbabit, Ting Ye memandu kereta jenis Porsche 911 dalam keadaan berbahaya dan insiden tersebut turut dirakamkan kamera litar tertutup.

Berdasarkan rakaman, wanita berusia 26 tahun tersebut memandu pada kelajuan lebih 140 kilometer sejam sebelum merempuh penghadang besi jalan sehingga menyebabkan kenderaannya berpusing dan terhumban ke bahu jalan.

Menurut Polis Bellevue, kemalangan itu menyebabkan Ting Ye cedera manakala seorang lagi penumpang, juga warga China, Yabao Liu, 27, meninggal dunia akibat kemalangan itu.

Polis percaya kemalangan itu berpunca akibat pengaruh alkohol dan Ting Ye juga gagal memberi kerjasama untuk membantu siasatan.

Malah polis percaya Ting Ye pulang ke China dengan menggunakan laluan di Kanada sebaik saja dia dibenarkan keluar hospital.

Wanita itu juga dipercayai sudah berada di negara asalnya ketika pihak pendakwa raya mengemukakan tuduhan ke atasnya atas kesalahan menyebabkan kematian.

Kes itu kini diserahkan kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk tindakan lanjut.

Ini kerana AS dan China tidak terikat dengan perjanjian ekstradisi yang mana wanita tersebut tidak boleh diserahkan oleh pihak berkuasa China kepada AS untuk dibicarakan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram