[VIDEO] Mayat bayi lebih 48 jam ditemui dalam tandas surau di Pengkalan Nyireh


  • 112
  • Isnin, 06 Nov 2023

Mayat bayi perempuan ditemukan dalam tandas surau Pengkalan Nyireh, Terengganu pada Isnin.

MAYAT seorang bayi perempuan ditemukan dalam tandas sebuah surau di Pengkalan Nyireh, Jertih, Terengganu pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, mayat bayi itu dijumpai oleh beberapa penduduk kawasan itu yang terhidu bau busuk dari dalam salah satu tandas surau berkenaan pada pukul 10 pagi.

Beliau berkata, beberapa orang awam kemudiannya masuk ke dalam tandas itu untuk memeriksa dan mereka menemukan satu baldi berwarna merah dalam keadaan telungkup di lantai tandas.

"Saksi kemudian membuka baldi itu dan ternampak mayat bayi di dalam plastik warna jernih, lalu mereka memaklumkan kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) surau yang kemudiannya menghubungi polis,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pemeriksaan oleh sepasukan pegawai serta anggota Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Terengganu mendapati mayat bayi perempuan itu dalam keadaan cukup sifat, dan tiada kecederaan ketara dikesan pada mayat.

"Berdasarkan keadaan mayat yang sudah berbau, bayi itu dipercayai telah meninggal dunia lebih 48 jam,” katanya dan menambah mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat.

Abdul Rozak berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram