Pengawal blazer merah, penghantar makanan sudah bersalaman, berbaik-baik selepas bergomol


  • Tular
  • Sabtu, 04 Nov 2023

Pengawal terbabit (kanan) bersama penghantar makanan yang dikatakan sudah berbaik selepas pergaduhan di Kuala Lumpur pada Jumaat. — Twitter/@jllmisai

BUANG yang keruh, ambil yang jernih. Pergaduhan tular melibatkan seorang pengawal keselamatan berjaket merah dengan seorang penghantar makanan di bangunan Persiaran Tun Razak, Kuala Lumpur pada Jumaat dilaporkan berakhir dengan baik.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat pada hari yang sama oleh pengawal keselamatan tersebut, dia mendakwa video yang tersebar itu adalah tidak benar selain mendakwa pemilik video bernama Sakinah hanya merakam separuh kejadian dan bukan apa sebenarnya yang berlaku ketika itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Gaduh pengawal-penghantar makanan: 5 saksi sudah dipanggil polis Dang Wangi

Pada masa sama, pemuda yang dikenali sebagai Nazz Hairie itu juga dilihat memuat naik satu hantaran di Twitter (X) berkenaan kejadian bersama gambar yang menunjukkan mereka sudah berbaik sebelum ia dipadam tidak lama kemudian.

Difahamkan, pemuda berbaju blazer merah terbabit bertindak sedemikian selepas diserang bertubi-tubi netizen yang tidak bersetuju dengan tindakannya membelasah penghantar makanan terbabit.

Dalam laporan polis itu juga menyatakan bahawa terdapat salah faham yang menyebabkan pergaduhan mulut antara penghantar makanan dengan salah seorang pengawal keselamatan lain pada awalnya.

"Perkara tersebut telah selesai dan kali kedua rider tersebut mendapat arahan daripada Sakinah untuk menghantar barang di lobi utama Menara IQ dan telah berlakunya pergaduhan mulut dengan pengawal keselamatan lain," dakwanya.

Dakwanya lagi, dia bertindak untuk menghalang perbuatan penghantar makanan yang cuba untuk mengasari pengawal keselamatan itu dengan menjatuhkannya ke atas lantai.

"Pada masa sama, penama Sakinah itu merakam perbuatan saya dan memuat naik di Facebook dan mengatakan bahawa itu kesalahan saya.

"Video tersebut adalah tidak benar dan dia merakam separuh sahaja," jelasnya lagi.

Sementara itu, laporan polis yang dibuat oleh pemuda tersebut atas tujuan keselamatan diri dan keluarga sekali gus menafikan dakwaan yang tidak benar dalam video tular itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram