KECOH di media sosial tentang isu pergaduhan yang membabitkan seorang pengawal keselamatan dengan penghantar makanan di sebuah bangunan di Persiaran Tun Razak, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Susulan itu, polis telah memanggil lima individu bagi memberi kenyataan lanjut berhubung kejadian itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Nazron Abd Yusof berkata, pihaknya telah menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tular itu.
Menerusi dua rakaman video berdurasi tiga minit 15 saat dan dua minit 15 saat itu, kejadian berlaku akibat perselisihan faham antara seorang lelaki yang memakai jaket blazer merah dengan seorang penghantar makanan.
Pada masa sama, penghantar makanan itu dipercayai dilarang masuk ke dalam bangunan tetapi dipaksa oleh penerima yang dikatakan seorang wanita ketika kejadian.
Penghantar makanan itu kemudiannya dikatakan memarahi pengawal terbabit sekali gus menyebabkan dia memanggil rakan sekerjanya untuk mendapatkan bantuan sebelum tercetus pergaduhan.
"Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada Khamis lalu pukul 3.20 petang di antara seorang penghantar barang dan seorang individu yang berpunca daripada salah faham.
"Setakat ini seramai lima individu telah dipanggil untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Nazron berkata, siasatan sedang dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram