[VIDEO] Gara-gara dilarang masuk bangunan, penghantar makanan gaduh dengan pengawal jadi kes polis


  • 112
  • Jumaat, 03 Nov 2023

Tangkap layar kejadian penghantar makanan bergaduh dengan pengawal kerana tidak dibenarkan di sebuah bangunan pada Khamis.

POLIS menerima laporan berhubung kejadian pertengkaran penghantar makanan dan pengawal keselamatan di sebuah bangunan di Kuala Lumpur yang tular pada Jumaat.

Menerusi dua rakaman video berdurasi tiga minit 15 saat dan dua minit 15 saat menunjukkan berlaku perselisihan faham antara dua lelaki itu.

Berdasarkan hantaran pada video berkenaan, penghantar barangan itu tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan tetapi pelanggan bertegas supaya penghantar masuk ke bangunan berkenaan.

Penghantar itu dikatakan memarahi pengawal terbabit menyebabkan dia memanggil rakan sekerjanya untuk mendapatkan bantuan sebelum tercetus pergaduhan.

Pergaduhan berlaku antara penghantar dan seorang lelaki memakai jaket merah.

Bagaimanapun ketika pergelutan berlaku, seorang wanita yang dipercayai pelanggan kepada penghantar itu meminta suspek melepaskan mangsa.

Wanita terbabit juga mengaku akan bertanggungjawab kerana dia yang meminta penghantar itu masuk ke premis berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Nazron Abd Yusof berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu.

"Polis sudah mengenal pasti saksi kejadian dan memanggil mereka untuk diambil keterangan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu dan tidak mengganggu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram