Isu 'double standard', pengurusan Menara Berkembar Petronas mohon maaf, jalankan siasatan


  • Tular
  • Sabtu, 04 Nov 2023

Isu layanan tidak adil diberikan kepada pelanggan di Menara Berkembar Petronas pada Jumaat.

PIHAK pengurusan operasi lawatan Menara Berkembar Petronas memohon maaf selepas seorang lelaki mendakwa dilayan secara tidak adil ketika menunggu giliran untuk ke Skybridge pada Jumaat.

Menurut syarikat itu, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan akan menjalankan siasatan dengan secepat mungkin.

“Kami memandang berat perkara ini dan sedang menjalankan siasatan dengan kadar segera, kami akan memastikan ia tidak berulang lagi.

“Segala kesulitan amat kami kesali,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Sabtu.

WhatsApp Image 2023-11-04 at 4.52.43 PM

Permohonan maaf pihak pengurusan operasi lawatan Menara Berkembar Petronas pada Sabtu.

Sebelum ini, seorang peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi mendakwa dilayan secara ‘berat sebelah’ oleh staf Skybridge yang mengutamakan warga asing ketika menunggu giliran ke kawasan tarikan umum itu.

Shamsuddin berkata, dia beratur pada pukul 11.30 pagi dan dapat membeli tiket untuk slot pukul 4.00 petang bagi menaiki menara tersebut.

Kemudian katanya, dia datang semula pada pukul 2 petang dan menunggu di ruang menunggu sehingga pukul 3.45 petang untuk beratur bagi mengimbas tiket.

Namun, secara tiba-tiba muncul seorang pegawai bertanyakan kepada pasangan ‘mat salih’ mengenai jadual tiket, kemudian membenarkan mereka menaiki Skybridge terlebih dahulu.

"Lebih kurang pukul 3.00 petang datanglah pegawai Melayu yang pakai tie warna Petronas itu ke kerusi bulat sebelah bertanya kepada couple Mat Salih tiket naik pukul berapa.

“Dia (pegawai) kenyit mata dan beri isyarat suruh mereka (pasangan mat salih) ke depan supaya boleh naik awal. Mula lah tertanya-tanya apa hal pula mereka boleh naik dulu, saya yang dah tunggu lebih awal tidak pula dilayan begitu.

“Bila ditanya, jawapannya mereka ada kuasa untuk dahulukan sesiapa yang difikirkan perlu, ‘mat salih’ itu baru sampai, badan bertatu segar bugar dan pasangan perempuannya tak nampak cacat pun,” katanya di Facebook pada Jumaat. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram