
DUA lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta jenama Proton Wira yang dinaiki dipercayai terbabas sebelum merempuh tembok pembahagi jalan di Jalan Bukit Impian-Senai, Johor awal pagi Selasa.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Wan Nor Affendi Wan Yusof berkata, dalam kejadian pukul 3.15 pagi itu, mangsa N. Khatiravan, 23, dan M. Arvindran, 20, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.
"Terdapat lima mangsa terperangkap di dalam kereta tersebut sebelum Pasukan Keluaran Operasi bertindak mengeluarkan kesemua mangsa menggunakan 'rescue tools'.
"Tiga lagi mangsa iaitu V. Thineswaran, 22, mengalami cedera parah, S. Arivin, 24, dan Muhammad Syafiq Abdullah, 36, masing-masing mengalami cedera ringan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.
Wan Nor Affendi berkata, operasi melibatkan kekuatan 20 anggota itu tamat sepenuhnya pukul 4.35 pagi dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram