Pemandu lori tak mengaku salah sebabkan kematian pelajar di Johor


Norazwan Ismail mengaku tidak bersalah pada Isnin selepas menyebabkan kematian seorang pelajar di Batu Pahat, Johor pada Rabu. — Bernama

SEORANG pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Batu Pahat, Johor pada Isnin atas pertuduhan memandu dengan melulu sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar tingkatan lima pada 25 Oktober (Rabu).

Norazwan Ismail, 33, didakwa melakukan perbuatan itu di Kilometer 13.5 Jalan Kluang-Batu Pahat pada pukul 7.04 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan denda hingga RM50,000 serta lesen memandu diendorskan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip mencadangkan mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 kepada tertuduh dengan syarat tambahan selain digantung lesen mengikut Seksyen 41(5) APJ.

msg1050426791-18183

Tangkap layar video memaparkan kemalangan yang berlaku pada Rabu.

Peguam S. Thamarah yang mewakili tertuduh merayu jaminan direndahkan kerana Norazwan perlu menanggung dua isteri dan dua anak serta ibu bapa yang uzur selain memohon lesen tidak digantung memandangkan memandu lori adalah punca rezeki utama anak guamnya.

Majistret Nurasidah A. Rahman kemudian membenarkan Norazwan diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 30 November (Khamis) untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Dalam kejadian pada Rabu, Shahrunizam Mohd Shamsul, 17, dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading maut dan motosikal ditunggangnya terbakar apabila melanggar bahagian tangki minyak sebuah lori yang membuat pusingan U.

Video mengenai kejadian yang berdurasi 30 saat itu turut tular di media sosial. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram