[VIDEO] Along Kluang siap datang rumah bawa sepanduk, 'speaker' tuntut hutang depan pagar


  • 112
  • Khamis, 26 Okt 2023

Tangkap layar video memaparkan tiga orang lelaki dipercayai pengutip hutang membawa sepanduk dan pembesar suara ke rumah penghutang di Kluang, Johor.

KEBIASAANNYA. pemungut hutang sering dikaitkan dengan persepsi negatif hingga menimbulkan ketakutan kepada pihak lain terutama peminjam.

Antara yang sering dilakukan pemungut hutang untuk memastikan wang mereka dikembalikan adalah dengan cara mengugut, menyimbah cat malah lebih parah boleh sampai ke tahap membunuh peminjam atau ahli keluarga mereka sekiranya hutang gagal dilunaskan.

Namun kali ini, berbeza pula pendekatan dibuat oleh sekumpulan pemungut hutang yang bertindak melaksanakan cara yang lebih 'halus' untuk memberi peringatan kepada peminjam.

Seperti yang tular di laman media sosial pada Rabu, video memaparkan gelagat tiga orang lelaki memakai pakaian seragam dengan logo dipercayai daripada syarikat pinjaman wang jelas menarik perhatian netizen.

Kejadian itu difahamkan berlaku di sebuah kawasan perumahan dekat Kluang, Johor pada Rabu.

Mereka dilihat berjalan ke arah sebuah rumah sambil membawa sepanduk dan pembesar suara sebelum meminta agar peminjam membayar hutang mereka.

Mereka juga meletakkan banting yang disertakan maklumat syarikat pinjaman wang di depan pagar rumah penghutang.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada pemilik rumah tersebut yang terletak di Kluang berhubung gangguan berkenaan.

"Pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang telah menyebabkan gangguan dan kegelisahan dalam kalangan penduduk sekitar," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram