AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengumumkan hasrat untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu, susulan pendakwaan terhadapnya di mahkamah pada Selasa atas pertuduhan rasuah.
Wan Saiful berkata, hasratnya itu sudah dimaklumkan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan terpulang kepada pimpinan parti itu untuk membuat keputusan mengenainya.
"Keputusan ini adalah sesuai dengan prinsip integriti dan semangat perjuangan yang saya junjung selama ini.
"Jawatan Ketua Penerangan adalah jawatan eksekutif dalam parti. Maka saya lepaskan jawatan ini kerana inilah juga pegangan yang saya yakini selama ini sehinggalah saya dapat membersihkan nama saya melalui proses perundangan," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di ibu negara pada Rabu.
Namun begitu, Wan Saiful menjelaskan, beliau masih memegang jawatan sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
Wan Saiful berkata, beliau turut tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba memburukkan namanya dengan menyamakan beliau dengan individu lain yang terlibat dengan pertuduhan di mahkamah.
Pada Selasa, Wan Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta berhubung projek Jana Wibawa.
Dalam pada itu, Bersatu menerima peletakan jawatan Wan Saiful sebagai Ketua Penerangan parti, berkuat kuasa Rabu, kata Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin berkata, Bersatu menerima permohonan Wan Saiful secara lisan pada pertemuan pagi tadi dan surat rasmi peletakan jawatan itu akan dihantar hari ini.
"Pagi tadi (Rabu) selepas kita berbincang, beliau bersetuju untuk meletak jawatan itu... berkuat kuasa hari ini.
"(Keputusan itu) bukan kerana kita mengatakan dia sudah bersalah atau tidak, tetapi (sebagai) satu set standard yang ingin kita tunjukkan bahawa kerana (apabila) beliau berhadapan dengan pertuduhan (mahkamah) supaya tidak timbul apa-apa salah pandangan terhadap Bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Dewan Rakyat pada Rabu, selepas menghadiri majlis pelancaran Misi dan Dana Bantuan Ahli Parlimen Perikatan Nasional Gempa Bumi Turkiye dan Syria di bangunan Parlimen.
Muhyiddin berkata, Bersatu amat menghargai dan menyifatkan tindakan Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor melepaskan jawatan itu sebagai terhormat, kerana langkah itu akan menangkis tanggapan negatif terhadap parti itu.
"Dengan cara ini (melepaskan jawatan) kita dapat berhadapan dengan rakyat atas dasar yang bermaruah... ini bukan menghukum dia, dia buat (letak jawatan) secara sukarela...,” katanya.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, Bersatu akan melantik seorang Ahli Majlis Tertinggi Bersatu untuk menggalas jawatan itu dalam tempoh segera kerana jawatan tersebut mempunyai tanggungjawab besar terutama dalam tempoh persiapan menghadapi pilihan raya negeri.
Sementara itu, mengulas mengenai misi kemanusiaan membantu mangsa bencana itu, Muhyyidin berkata, ia menyasarkan kutipan dana RM1 juta hasil sumbangan Ahli Parlimen PN serta pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk diberikan kepada mangsa gempa bumi.
Katanya, delegasi misi itu akan disertai 15 Ahli Parlimen PN serta dua wartawan yang dijadualkan berlepas ke Turkiye pada 2 Mac ini. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram