Bawa pisau ke stadium masa aksi Perak-JDT, pengawal keselamatan mengaku tak bersalah


Azrul Faiz (kiri) tidak mengaku bersalah atas tuduhan membawa pisau ke stadium di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin.— Bernama

SEORANG pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan memiliki pisau pada perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak FC dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh Khamis lepas.

Azrul Faiz Mohd Rosli, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.

Dia didakwa memiliki sebilah pisau di dalam beg pinggang berwarna hitam di pintu masuk B Stadium Indera Mulia, Kompleks Sukan, Ipoh, Perak pada kira-kira pukul 8.45 malam Khamis lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin menawarkan jaminan RM6,000 manakala peguam M. Kathan memohon anak guamnya diberikan jaminan rendah atas alasan tertuduh hanya berpendapatan RM1,800 dan perlu menanggung isteri yang hamil dan tiga anak serta kedua ibu bapanya.

Siti Nora kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh sebelum ini ditahan pada perlawanan antara JDT dan Perak FC yang berkesudahan 4-1 dengan kawalan ketat polis. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram