[VIDEO] Malu kena cekup, lelaki berinai, pakai tudung kantoi rakam wanita dalam tandas di Pasir Gudang


  • Tular
  • Ahad, 22 Okt 2023

Tangkap layar kejadian lelaki dicekup selepas cuba menyamar sebagai wanita untuk merakam lebih 40 video dalam tandas di sebuah pasar raya di Pasir Gudang.

SEORANG lelaki dicekup orang ramai di sebuah pasar raya di Pasir Gudang, Johor pada Ahad kerana didakwa mengintai wanita yang berada di dalam tandas dalam kejadian dipercayai berlaku di Pasir Gudang, Johor Bahru, Johor.

Pada masa kejadian, individu terbabit dikatakan menyamar sebagai wanita dengan mengenakan inai di kaki dan memakai selipar isterinya supaya kelihatan seolah-olah dia berjantina perempuan.

Menerusi rakaman video yang tular, suspek disoal siasat oleh beberapa wanita dipercayai mangsa kejadian.

Dalam nada marah, kedengaran wanita itu menggesa suspek supaya memberi kata laluan telefon pintarnya untuk melihat sendiri rakaman video yang telah diambil.

Mungkin kerana terlalu berang, wanita itu turut mengeluarkan kata-kata kesat kepada suspek yang cuba mengelak memberi kata laluan telefon bimbitnya kerana malu selepas perbuatannya tertangkap.

Setelah berkeras, wanita itu dipercayai berjaya membuka telefon bimbit suspek dan menemukan lebih daripada 40 rakaman video kejadian intai wanita di dalam tandas.

Suspek yang disoal siasat memaklumkan dia sudah berkahwin dan mempunyai isteri apabila menyatakan inai di kakinya dilukis sendiri oleh wanita berkenaan.

Ketika ditanya mengapa dia bertindak merakam wanita di dalam tandas, suspek mendakwa, dia juga bingung dan tidak mengetahui mengapa dia tergamak bertindak sedemikian walaupun sudah berumah tangga.

"Saya dah (kahwin)...tak tahulah kepala otak saya macam gini hari ini... ish malu seh," dakwanya dalam nada bersalah ketika cuba membela diri.

Dalam pada itu, suspek sudah ditahan polis pada hari sama.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11 pagi, sebelum lelaki berusia 23 tahun itu diserahkan oleh orang awam kepada pihak polis.

"Hasil semakan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, permohonan reman atas suspek juga akan dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Johor Bahru, Johor pada Isnin untuk siasatan lanjut.

"Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan perbuatan yang melanggar norma kehidupan dan undang-undang negara serta sebarang maklumat kejadian hendaklah disalurkan kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut,” tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram