Imam maut ditimpa buah kelapa depan mata isteri di Jempol, famili dedah ada sejarah sakit jantung


  • 112
  • Jumaat, 20 Okt 2023

Orang ramai mengerjakan solat jenazah buat Aisa Ujang, 66, imam yang meninggal akibat ditimpa buah kelapa di Jempol, Negeri Sembilan. — Facebook

SEORANG imam dari Masjid Felda Raja Alias 2, Jempol, Negeri Sembilan dilaporkan meninggal dunia selepas ditimpa buah kelapa dalam satu insiden yang berlaku pada pagi Khamis.

Ketika kejadian, mangsa difahamkan sedang mengait buah kelapa di ladangnya kira-kira pukul 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa, Aisa Ujang, 66, meninggal dunia selepas dua jam menerima rawatan di Hospital Jempol.

Katanya, berdasarkan keterangan anaknya, kejadian di belakang rumah berikutan mangsa ada menanam pokok kelapa.

"Buah kelapa akan dikait selang dua minggu untuk dijual kepada peniaga dan kejadian itu disaksikan isteri mangsa.

"Sebaik kejadian, isteri mangsa terus mendapatkan bantuan ahli keluarga dan jiran berdekatan untuk menghantar mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan, namun dia disahkan meninggal dunia selepas dua jam menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan.

Hoo berkata, doktor yang memberi rawatan mendapati tiada kesan luka disebabkan senjata tajam seperti parang atau sabit.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan dalaman pada kepala akibat buah kelapa yang jatuh ke atas kepala.

"Anak mangsa juga turut memaklumkan mangsa mempunyai sejarah sakit jantung sejak 2018 serta darah tinggi sejak 2010 dan sentiasa mendapatkan rawatan di klinik ataupun hospital berhampiran sehingga kini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram