Terima kasih PH, PN sebab faham Sarawak hanya boleh diuruskan oleh anak jati sendiri — Abang Jo


  • Politik
  • Sabtu, 21 Okt 2023

Abang Johari (tiga dari kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada Iskandar Turkee pada Majlis Pengumuman Calon GPS sempena PRK DUN Jepak baru-baru ini. — Bernama

PENGERUSI Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg menzahirkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) kerana tidak meletakkan calon daripada parti tersebut untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.

Beliau berkata, tindakan berkenaan menunjukkan kepimpinan kedua-dua parti itu memahami Sarawak hanya boleh diuruskan oleh anak jati negeri itu.

"Terima kasih kepada PH yang tidak meletakkan calon, begitu juga kepada PN. (Parti lain) yang meletakkan calon untuk bertanding dalam PRK itu pula cuma parti semut sahaja.

"Saya tidak kata parti kita ini kuat tetapi setidak-tidaknya mereka faham Sarawak hanya boleh diuruskan oleh anak Sarawak sendiri.

"Jadi saya harap masa depan kita cerah dengan adanya anda sekalian untuk pertahankan sistem politik yang terdapat di Sarawak.

"Untuk pertahankan Sarawak terpulang kepada rakyat, saya sudah tua namun kita masih ada pemimpin muda lagi," kata Premier Sarawak itu.

Beliau berkata demikian ketika sesi Town Hall Agenda Sarawak #tanyakAbangJo yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Sabtu.

Town Hall yang dikendalikan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli sebagai moderator itu dianjurkan sempena Program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2023.

Dalam PRK DUN Jepak yang berlangsung pada 4 November depan, GPS mencalonkan Bekas Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak, Iskandar Turkee.

Iskandar dijangka berdepan calon daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK), Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat (ASPIRASI), Chieng Lea Phing.

Untuk rekod, pilihan raya itu diadakan susulan penyandang kerusi berkenaan, Datuk Talib Zulpilip, 72, meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang pada 13 September lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram