SEORANG lelaki menyuarakan rasa tidak berpuas hati dan kecewa apabila jalan raya berhampiran kawasan Pearl Point Hotel, Batu 5, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur yang rosak masih belum dibaiki sehingga mengundang kemalangan.
Lelaki bernama Achik Shah Putera dalam hantaran di Facebook meminta pihak berkuasa untuk segera mengambil tindakan agar tidak mengancam nyawa pengguna jalan raya itu.
"Kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tolong permudahkan urusan, lubang jalan raya yang rosak ini semakin dalam dan besar.
"Jangan sampai melibatkan kes kemalangan sehingga ada yang terkorban, kita tidak mahu pihak jabatan pula dipersalahkan kelak," tulisnya.
Dia turut menyeru Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil untuk mempercepatkan tindakan baik pulih jalan raya yang rosak itu.
Mengulas isu terbabit, Achik memuat naik sebuah rakaman seorang penunggang motosikal yang cedera parah kerana terlibat dalam satu kemalangan di kawasan Pearl Point Hotel pada pukul 8 pagi Khamis.
Dalam insiden tersebut, mangsa tersembam selepas terlanggar lubang terbabit.
Rakaman turut memaparkan mangsa menahan kesakitan kerana keseluruhan badannya dipenuhi luka dan berlumuran darah.
Mangsa kemudian dibantu oleh salah seorang pekerja J&T Express (J&T) yang melalui kawasan itu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet turut meminta isu jalan raya rosak agar segera dipulihkan.
"Semoga pihak berwajib membaiki segera jalan ini, " tulis Narmi Othman.
"Semoga pakcik yang terlibat kemalang itu baik-baik sahaja," kata Lai Yusoff Josseph.
"Memang boleh undang kemalangan kalau lubang besar macam ini, mohon diambil peduli tentang kerosakan begini," tulis Aisyah Razali. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram