Penolong pegawai perubatan tak mengaku salah kes rasuah pengurusan jenazah


Moh Roffi Ab Rahman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuantan pada Khamis atas pertuduhan menerima rasuah pengurusan jenazah.

SEORANG penolong pegawai perubatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh, Kuantan, Pahang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuantan pada Khamis atas 12 pertuduhan menerima wang berjumlah RM3,350 berkaitan kerja pengurusan jenazah, sejak dua tahun lepas.

Moh Roffi Ab Rahman, 57, yang beralamat di Jerantut, Kuantan mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Dia yang bertugas di Unit Perubatan Forensik HoSHAS didakwa menerima wang antara RM100 hingga RM800 pada 8 April 2021 hingga 3 Mac 2022 yang dimasukkan secara dalam talian ke akaun bank miliknya oleh dua individu yang terlibat dalam kerja pengurusan mayat dan jenazah.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, peguam Shahidah Muslimah Roslan merayu jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin yang ditawarkan pihak pendakwaan dikurangkan atas alasan tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga dengan pendapatan bersih RM2,500 sebulan.

"Tertuduh mempunyai lima orang anak dengan dua daripadanya adalah penghidap sakit kronik. Seorang anak tertuduh menghidap kanser dan meninggal dunia pada 14 Mac lepas manakala seorang lagi mempunyai sakit jantung yang memerlukan rawatan berkala di Institut Jantung Negara (IJN) dan mengambil ubat sepanjang hayat.

"Tertuduh telah berkhidmat dengan jabatan awam sejak 1992 dan sepanjang tempoh itu, tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib selain turut menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak tiga kali," katanya.

Shahidah Muslimah berkata, anak guamnya telah memberikan kerjasama penuh sejak ditangkap pada 7 Februari lepas dan adiknya yang akan menjadi penjamin juga merupakan kakitangan kerajaan.

Ahmad Zamzani membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 27 November ini sebagai sebutan semula kes.

Sementara itu, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kamariah Seman. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram