Bukan lagi sawit, Kampung Felda Bukit Cherakah kini lahirkan lebih ramai pengusaha cili


  • Massa
  • Ahad, 15 Okt 2023

Khairi berkata, projek penanaman cili api mendapat sambutan yang baik bagi generasi kedua di Kampung Felda Bukit Cherakah.

PROJEK penanaman cili merupakan salah satu bidang pekerjaan yang menjadi tarikan anak muda generasi kedua Kampung Felda Bukit Cherakah, Selangor.

Ketua kampung Felda Bukit Cherakah, Khairi Dzul Azizi, 43, berkata, dia sentiasa menitik beratkan soal pekerjaan yang boleh diceburi oleh warga tempatan di kampung itu.

Dalam usaha itu, Khairi telah melaksana inisiatif bagi menyediakan tapak pertanian ladang cili api yang dapat diusahakan oleh warga kampung.

"Saya generasi kedua ada sediakan tapak pertanian ladang cili api, orang kampung yang ingin bekerja dan tertarik dalam bidang pertanian dapatlah kerja bersama kami. Saya ajar ilmu secara percuma," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2023-10-15 at 4.32.23 PM

Salah satu penanaman cili api yang dijalankan di Kampung Felda Bukit Cherakah.

Khairi berkata, usaha itu membuahkan hasil apabila anggaran dalam 50 peratus anak muda berminat untuk mengikut projek penanaman cili api.

Sambutan semakin luas diterima ketika penduduk Felda Bukit Cerakah yang lain turut berminat mengusahakan penanaman cili besar.

WhatsApp Image 2023-10-15 at 4.31.59 PM

Sabella menjalankan projek penanaman cili yang dinamakan Projek Ilham.

Nor Sabella Melan, 34, menjalankan aktiviti pertanian yang dinamakan sebagai Projek Ilham dengan misi untuk menjadi pembekal cili terbesar di negara ini.

Berbekalkan kepakarannya yang juga bekerja sebagai eksekutif pemasaran, Sabella berkata, projek penanaman yang diusahakannya mempunyai strategi pemasaran tersendiri untuk menjual produk mereka.

Hasilnya, Sabella mampu mengusahakan penanaman cili meskipun pada awalnya tidak memiliki sebarang pengalaman soal pertanian.

"Tiada pengalaman bukan bererti tidak mampu berjaya, kami belajar dari YouTube untuk mahirkan diri, selain banyakkan pembacaan dan melawat ke ladang lain untuk dapatkan idea," katanya.

Kini, Sabella bersama Projek Ilham sudah memiliki beberapa aset termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda, tempat simpanan sejuk beku bersaiz kontena dan mampu menggaji tujuh orang pekerja.

Meskipun kebiasaannya penduduk Felda terkenal dengan penanaman sawit, berbeza pula dengan penduduk Kampung Felda Bukit Cherakah.

Ini kerana, Kampung Felda Bukit Cherakah bukan lagi di bawah Felda, tetapi di bawah Kerajaan Negeri Selangor sejak 1997.

Mengulas lanjut, Khairi turut berkata, pendapatan penduduk kampungnya tidak lagi berpunca daripada sawit sejak tahun 1997.

"Jika ada hasil pun, cuma sedikit iaitu hasil daripada kebun yang pernah dibeli oleh penduduk sebelum ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram