Kali terakhir dilihat di kelab, mayat lelaki berbaju wanita ditemukan di Tampoi


  • 112
  • Rabu, 11 Okt 2023

Kamarul Zaman (kanan) bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Johor pada Rabu. — Bernama

MAYAT seorang lelaki berperwatakan wanita ditemukan di terowong pejalan kaki di Jalan Perkasa, Taman Tampoi Utama, dekat Johor Bahru, Johor, pada Ahad lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu, kira-kira 7 pagi.

"Pihak polis menemui mayat tersebut lengkap berpakaian wanita, dengan kesan kecederaan di kepala dan muka.

"Hasil siasatan, polis mendapati kesan kecederaan (itu) akibat terjatuh dari tebing tinggi ke laluan terowong berkenaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, pada Isnin.

Beliau berkata, lelaki berusia 30-an itu kali terakhir dilihat di sebuah kelab malam di bandar raya itu pada malam sebelum kejadian dan pihaknya masih menunggu laporan kimia untuk menentukan sama ada mangsa mabuk ketika itu.

"Kita telah menghubungi waris lelaki berkenaan untuk proses pengecaman," katanya.

Kamarul Zaman berkata alamat terakhir lelaki itu ialah di Perak dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram