[VIDEO] Dituduh jual 'beras plastik', syarikat Sazarice ambil tindakan undang-undang


  • Massa
  • Isnin, 09 Okt 2023

Bebola nasi yang didakwa menggunakan beras plastik oleh seorang pengguna di Sabah pada Ahad.

ISU beras yang tidak kesudahan kini hangat kembali selepas sebuah video tular memaparkan dakwaan beras yang dijual oleh jenama Sazarice itu adalah beras plastik di sebuah pasaraya di Sandakan, Sabah sejak Ahad.

Tidak berdiam diri, akhirnya pihak pengurusan syarikat pengeluaran beras Sazarice Sdn Bhd menafikan dakwaan yang dilemparkan oleh salah seorang pengguna yang memuat naik video tersebut di Facebook Udamlina Jaylina Ina pada Ahad.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sazarice di Facebook pada Isnin, pihaknya menegaskan kepada pengguna-pengguna setia beras jenama itu bahawa dakwaan isu yang tular sebelum ini adalah tidak benar.

"Sazarice sentiasa memastikan kualiti beras yang terbaik untuk semua produk-produk jenama ini.

"Sazarice menjamin kualiti beras keluaran pihak kami hanyalah yang berkualiti dan mematuhi piawaian yang telah diiktiraf oleh Halal, Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP) dan ISO 9001," katanya dalam kenyataan itu.

Pada masa yang sama, pihaknya juga telah membuat laporan polis susulan isu tersebut dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Sementara itu, pihak Sazarice menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan berita yang tidak benar atau menyebarkan maklumat palsu tanpa pengesahan daripada pihak berkuasa yang boleh menggugat ketenteraman serta kegusaran awam.

Pihak Sazarice turut tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang cuba memburukkan nama baik syarikat tersebut.

Pada Ahad, tular sebuah video memaparkan aksi seorang pengguna melontarkan bebola nasi ke lantai sambil mendakwa beras jenama tersebut menjual beras tiruan atau plastik di sebuah pasar raya di Sandakan.

Dalam rakaman video sama, bebola nasi yang melantun itu merupakan bukti beras tersebut adalah plastik, dakwanya.

"Jangan beli beras ini, ini semua beras plastik. Saya masak, nasi di bawah tapi di bahagian atas nampak macam plastik terbakar," katanya sambil menunjuk kepada beras jenama Sazarice dalam video tersebut.

Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga telah mengambil tindakan dan sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan penjualan beras plastik di sebuah premis di Sabah itu.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai insiden yang berlaku dan mengarahkan penyiasatan dilakukan serta-merta oleh KPDN Cawangan Sandakan.

"Siasatan sedang dilakukan oleh KPDN cawangan tersebut bersama dengan Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras.

"Setakat ini siasatan dibuka menggunakan Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011. Lawatan telah dilakukan di premis terlibat, manakala maklumat tambahan juga sedang diperoleh daripada pengadu yang telah memviralkan video tersebut selain menyemak invois daripada peruncit dan juga pembekal," katanya.

Kenyataan itu dibuat demikian bagi mengulas sebuah video tular di media sosial sejak Ahad berhubung dakwaan penjualan beras diperbuat daripada plastik di salah sebuah premis di negeri tersebut.

"Namun pada peringkat ini kita perlu meneliti kesahihan dakwaan itu dan mendapatkan bukti-bukti berkaitan. Saya memberi jaminan bahawa KPDN selaku agensi yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan penguatkuasaan khususnya dalam dua akta berkaitan iaitu Akta Perihal Dagangan 2011 dan juga Akta Perlindungan Pengguna 1999," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram