'Ada perkara polis belum selesaikan dengan dia', tempoh Roger Ng di Malaysia bergantung kepada siasatan


  • Primer
  • Isnin, 09 Okt 2023

Roger Ng tiba di Malaysia pada Ahad dan ia merupakan hasil kerjasama dan perjanjian (triti) antara DoJ dan Pejabat Peguam Negara.

TEMPOH keberadaan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, di Malaysia untuk membantu usaha kerajaan mendapatkan semula aset (asset recovery) yang terkait dalam isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), belum diputuskan lagi, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, tempoh berkenaan akan bergantung kepada proses siasatan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi yang mahu menjalankan siasatan terhadap Roger Ng.

"Polis jaga dia sekarang. Kita (Kementerian Dalam Negeri) cuma bantu bawa dia balik (ke Malaysia) kerana polis masih ada perkara yang belum selesai dengan dia.

"Dia dibawa ke sini untuk membantu kerajaan ke arah mengusahakan asset recovery,” katanya kepada media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Kementerian Dalam Negeri (KDN) Bersama Badan Pengurusan Keharmonian Agama, di Putrajaya pada Isnin.

Ditanya mengenai peruntukan undang-undang untuk Roger Ng disiasat dan pertuduhan yang bakal dihadapi, Saifuddin berkata, perkara itu belum diperincikan lagi.

"Hal itu saya serahkan kepada pihak polis. Mereka akan kenal pasti bawah undang-undang apa dan sebagainya. Jadi sama ada hendak meneruskan siasatan lama ataupun ada bentuk siasatan baru, itu bidang kuasa polis.

"Itu (pertuduhan) bergantung kepada hasil siasatan. Ia terlalu awal bagi saya membuat apa-apa andaian,” katanya.

PUTRAJAYA, 9 Okt -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media pada Majlis Sesi Libat Urus Kementerian Dalam Negeri bersama Badan Pengurusan Keharmonian Agama di kementeriannya hari ini.Turut kelihatan timbalannya Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Saifuddin ketika sidang media pada Majlis Sesi Libat Urus Kementerian Dalam Negeri bersama Badan Pengurusan Keharmonian Agama di kementeriannya, dekat Putrajaya pada Isnin. — Bernama

Menurut Saifuddin, Roger Ng tiba di Malaysia pada Ahad dan ia merupakan hasil kerjasama dan perjanjian (triti) antara Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) dan Pejabat Peguam Negara.

Menurutnya, Pejabat Peguam Negara yang diterajui oleh Tan Sri Tommy Thomas ketika itu memberi tempoh sehingga Februari depan kepada DoJ untuk menyelesaikan kes terhadap Roger Ng.

"Bagaimanapun, kes itu dapat diselesaikan lebih awal dan Roger Ng dipulangkan ke negara ini untuk siasatan seterusnya oleh pihak Malaysia," katanya.

Ditanya adakah Roger Ng akan dihantar kembali ke Amerika Syarikat untuk menjalani hukuman penjara 10 tahun yang dijatuhkan ke atasnya oleh mahkamah di sana, Saifuddin Nasution berkata ia bergantung kepada hasil siasatan.

"Apa pun kita terikat kepada apa-apa terma yang telah dipersetujui sama ada di peringkat triti ataupun di peringkat koresponden antara kedua-dua negara melalui Pejabat Peguam Negara dan DoJ.

"Objektif utama kita adalah bagaimana dia boleh membantu mengenai usaha mengambil kembali aset milik rakyat kerana pembabitan beliau dalam Goldman Sachs dan sebagainya,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram