BARISAN Nasional (BN) berjaya mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai selepas berjaya mengalahkan pesaing utamannya Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 2,949 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Sabtu.
Datuk Amizar Abu Adam yang mewakili BN memperoleh 7,324 undi, diumumkan sebagai pemenang oleh pegawai pilihan raya Suruhanjaya Pilihan Raya SPR), Datuk Muhammad Shahid Ismail.
Dalam pengumuman tersebut, calon PN, Kasim Samat sekadar meraih 4,375 undi manakala Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya memperoleh 47 undi, menyebabkan kehilangan deposit.
Sebanyak sembilan pusat mengundi dengan 30 saluran dibuka pada pukul 8 pagi untuk proses pengundian di DUN Pelangai.
SPR berkata, peratusan keluar mengundi bagi PRK Pelangai ialah 72.12 peratus.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyanndangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat di Shah Alam, Selangor, pada 17 Ogos lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Johari yang mewakili BN menang dengan majoriti 4,048 undi.
PRK DUN Pelangai adalah yang keempat diadakan selepas PRU15.
Tiga pilihan raya kecil sebelum ini diadakan bagi kerusi parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos, dan bagi parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, yang berlangsung serentak pada 9 September.
Kemenangan Amizar, 53, yang merupakan anak jati Felda Chemomoi itu sekali gus memastikan DUN Pelangai, yang terletak kira-kira 200 kilometer dari Kuantan, kekal sebagai kubu kuat BN di Pahang sejak tahun 1986.
Ia juga menyaksikan Amizar meneruskan legasi mentornya, bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob yang menyandang kerusi itu selama lapan penggal bermula 1986 sehingga 2022, sebelum Adnan memutuskan untuk tidak bertanding pada PRU15 dengan tempatnya digantikan Allahyarham Johari.
Amizar yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan dan Kepimpinan Strategik Universiti Sains Malaysia (USM) membuat kemunculan sulung pada PRU15 dengan bertanding atas tiket BN di DUN Ketari.
Beliau bagaimanapun tewas dengan majoriti tipis 120 undi kepada calon PH Su Keong Siong yang memperoleh 9,722 undi dalam pertarungan tiga penjuru yang turut melibatkan calon PN Tan Wei Leong (4,290 undi). — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram