[VIDEO] Bahana mulut, sepasang kekasih kena belasah 2 lelaki di George Town, seorang ada 4 rekod jenayah


  • 112
  • Jumaat, 06 Okt 2023

Tangkap layar mengenai kejadian sepasang kekasih dipukul di George Town yang tular sejak Khamis.

POLIS menahan dua lelaki bagi membantu siasatan mengenai sepasang kekasih dipukul berhampiran kawasan Bandar Baru Air Itam, George Town, Pulau Pinang pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, berdasarkan siasatan, kejadian pergaduhan itu berlaku kira-kira pukul 6 pagi Ahad, dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dan pertengkaran mulut.

"Ekoran kejadian itu, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 20-an pada hari sama dengan seorang daripadanya mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan kedua-duanya direman untuk siasatan lanjut.

"Polis telah membuka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta ugutan jenayah dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan menggunakan pisau pemotong kertas," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Soffian turut menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan rakaman video berhubung kejadian itu untuk mengelakkan sebarang spekulasi.

Video berdurasi 14 saat berhubung kejadian sepasang kekasih dipukul oleh seorang lelaki menjadi tular sejak Khamis dalam media sosial dan dikecam warganet. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram