[VIDEO] 'Call' tunang sambil berlari dan menangis, lelaki didakwa hilang lepas COD iPhone di Pulau Pinang


  • 112
  • Jumaat, 06 Okt 2023

Tangkap layar mengenai kejadian hilang selepas membuat penghantaran telefon pintar kepada seseorang yang tidak dikenali pada Selasa.

SEORANG lelaki hilang tanpa jejak sejak Selasa selepas berjumpa dengan pelanggan ketika membuat urusan penjualan telefon bimbit.

Muhammad Daniel Haikal yang berusia 27 tahun dikatakan kali terakhir dikesan berada di George Town, Pulau Pinang sebelum didakwa tidak kembali ke rumahnya di Kuala Lumpur.

Menurut hantaran Instagram ibu saudaranya, Eyraswan, Muhammad Daniel sempat membuat panggilan video dengan tunangnya untuk meminta tolong sambil berlari dan menangis.

WhatsApp Image 2023-10-06 at 4.08.46 PM

Gambar Muhammad Daniel, lelaki yang hilang selepas membuat Cod telefon pintar di George Town.

Susulan daripada itu, semakan rekod log aktiviti mendapati, lelaki tersebut membuat panggilan video berkenaan di George Town.

"Anak buah saya, Danial, sudah hilang sejak Selasa lalu selepas pergi COD iPhone dengan pelanggan yang tidak dikenali.

"Dia sempat membuat panggilan video dengan tunangnya meminta tolong untuk diselamatkan.

"Dalam masa sama dia menangis dan berlari untuk mencari jalan keluar dari tempat tersebut (tidak dinyatakan).

"Tetapi video call terputus sebab bateri telefon habis. Dia tak sempat beritahu di mana lokasinya," katanya.

Eyraswan turut meminta orang ramai menyebarkan berita kehilangan anak saudaranya itu agar Muhammad Daniel dapat ditemui segera.

Selain ibu saudara, ibu Muhammad Daniel turut membuat hantaran di media sosial agar anaknya itu kembali ke kediaman mereka segera.

"Semoga Allah permudahkan urusan anakku, Muhammad Daniel Haikal. Semua tempat mama cari abang, tak jumpa. Semoga abang cepat balik.

"Ya Allah ya Tuhan, lindungilah anakku. Jauhkanlah dia dari benda-benda yang tak baik," katanya.

Sementara itu, memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, setakat ini, tiada laporan berkenaan orang hilang diterima oleh pihaknya.

"Saya sudah semak, tiada laporan di sini.

"Bagaimanapun, jika diperlukan bantuan dari Polis Pulau Pinang, kita akan bantu. Setakat ini, ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut tidak menerima sebarang maklumat lanjut," katanya menurut laporan media tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram