MAYAT pendaki warga India yang hilang sejak 22 September (Jumaat) di Gunung Jasar berjaya dibawa turun pada pukul 11.20 pagi Ahad, kata Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman.
Yahaya berkata, mayat Nandan Suresh Nadkarni, 44, dibawa turun menggunakan helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU) Ipoh selepas operasi membawa turun mayat pada Sabtu gagal disebabkan faktor muka bumi.
"Mayat mangsa ditemukan pada sekitar pukul 3.40 petang Sabtu di satu anak sungai berhampiran Pos Atap dan jaraknya lebih kurang enam kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di kaki Gunung Jasar, Cameron Highlands.
"Hasil siasatan polis mendapati ketika mangsa turun dari puncak Gunung Jasar, dia telah tersasar daripada laluan asal menyebabkan sesat jauh ke dalam hutan dan melepasi sempadan negeri Perak," katanya dalam sidang media pada Ahad.
Terdahulu, Nandan Suresh dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Jasar, Cameron Highlands, sejak seminggu lepas.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan dan hasil siasatan awal berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar Tanah Rata mendapati mangsa keluar dari hotel seorang diri untuk melakukan aktiviti mendaki di Trail 10 Gunung Jasar kira-kira 9 pagi, 22 September.
Operasi SAR itu melibatkan 101 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan badan bukan kerajaan (NGO), Malim Gunung Cameron Highlands dan Radio Communication and Recreation Club.
Sementara itu, Yahaya berkata, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak Hospital Sultanah Hajjah Kalsom Cameron Highlands bagi tujuan bedah siasat.
"Proses bedah siasat akan dilakukan bagi mengetahui punca kematian mangsa dan rakan mangsa yang berada di Cameron Highlands sejak SAR dilancarkan telah diberitahu untuk tujuan pengecaman mayat.
"Hasil semakan polis juga mendapati mangsa ada memberitahu rakannya menyatakan dia pergi mendaki dan sampai di puncak Gunung Jasar, namun tidak pulang ke hotel dan mendaftar keluar," katanya.
Katanya, Nandan Suresh yang bekerja sebagai aktuari mendaftar masuk ke Hikers Sleep Port Guest House, Tanah Rata pada 19 September (Selasa) dan sepatutnya mendaftar keluar pada 24 September (Ahad).
"Kita juga dimaklumkan mangsa mempunyai satu persidangan di Kuala Lumpur pada 25 September (Isnin) dan mengambil keputusan melawat Cameron Highlands terlebih dahulu untuk melakukan pendakian.
"Semakan di tempat mangsa menginap mendapati barangan peribadi miliknya seperti pasport, komputer riba, dompet dan pakaian masih berada dalam bilik dan mangsa mendaftar masuk seorang diri," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram