KERAJAAN sedang memperhalusi langkah terbaik untuk melindungi pesara susulan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang membatalkan pindaan kepada undang-undang pencen, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan kini memperincikan mekanisme itu dan akan membuat pengumuman tidak lama lagi.
"Kita akan mengusahakannya. Kita perlu hormati keputusan Mahkamah Persekutuan. Kita mempunyai mekanisme untuk melindungi pesara dan akan mengumumkannya tidak lama lagi,” kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2023 di Kuala Lumpur pada Khamis.
Anwar berkata, kerajaan sedang memperhalusi langkah terbaik untuk melindungi pesara.
Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan pindaan undang-undang pada 2013 yang memperkenalkan skim pencen baharu yang melaraskan bayaran pencen setiap tahun dengan kenaikan dua peratus sebagai kurang menguntungkan pesara dan tidak berperlembagaan.
Keputusan itu bermakna undang-undang mengandungi skim pelarasan pencen lama akan digunakan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram