Hapuskan kerenah birokrasi, permudah urusan pelabur jalankan perniagaan — PM Anwar


  • Primer
  • Ahad, 24 Sep 2023

Anwar ketika sidang media sempena hari terakhir beliau berada di New York selepas menghadiri Perhimpunan Agung UNGA ke-78 pada Ahad. — Bernama

TATKALA semakin banyak syarikat mengembangkan operasi ke Malaysia atau meningkatkan pelaburan sedia ada mereka, pihak berkuasa perlu menghapuskan kerenah birokrasi dan menambah baik urusan untuk menjalankan perniagaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata, beliau kecewa kerana dalam beberapa kes, proses membuat keputusan masih lagi lambat dan lewat hingga ia memberi kesan kepada syarikat yang merancang untuk melabur di Malaysia.

"Sesetengah syarikat yang menemui kami berkata masih ada kelewatan dalam memberi kelulusan. Saya sangat kecewa apabila mendengarnya kerana kami telah memberi arahan yang jelas dan kita tidak boleh berlengah,” katanya pada sidang media di akhir lawatan empat hari beliau ke New York sempena menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Anwar berkata, Malaysia berada dalam era dan dunia yang sangat kompetitif.

"Jika anda tangguh enam bulan, negara lain akan memberi kelulusan dalam masa dua bulan. Kita akan terlepas peluang disebabkan oleh sikap itu...tetapi untuk berlaku adil, kita telah melakukan yang terbaik kerana kakitangan bekerja sepanjang masa untuk memastikan semuanya berjalan lancar (pertemuan dengan pelabur,)” katanya.

NEW YORK, 23 Sept -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) beramah mesra dengan rakyat dan pelajar Malaysia di sini pada majlis makan malam hari ini. Turut hadir, isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Anwar (tengah) beramah mesra dengan rakyat dan pelajar Malaysia pada majlis makan malam di New York. Turut hadir, isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail. — Bernama

Perdana Menteri berkata, arahan telah diberikan kepada menteri dan agensi yang berkaitan untuk memastikan semua permohonan diputuskan dengan cepat, termasuk kelulusan untuk pelaburan atau pengeluaran visa.

Sementara itu, Anwar berkata, syarikat aeroangkasa terbesar dunia, Boeing, yang telahpun memiliki kilang mengeluarkan sayap di Malaysia memaklumkan hasrat untuk mengembangkan pelaburannya dengan mengeluarkan sayap dan bahagian-bahagian bagi semua jenis pesawat.

"Ini adalah satu keputusan yang sangat besar untuk Malaysia. Dengan keputusan ini, hampir semua sayap dengan bahagian-bahagian akan dikeluarkan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, beberapa syarikat utama Amerika Syarikat (AS) lain seperti ConocoPhillips, AWS, Google, Airbnb, Amazon, Amazon Web Services, and Kimberly-Clark juga akan mengembangkan operasi mereka atau menyatakan hasrat untuk melebarkan sayap ke Malaysia.

Selain itu, semasa lawatannya, Anwar juga mengumumkan bahawa dua syarikat elektrik dan elektronik utama AS bersedia untuk mengembangkan operasi mereka ke Malaysia.

Satu daripadanya, Alton Industry Ltd Group (Alton Group) - pembekal global alatan pengguna dan komersial, perkakas dan penjagaan lantai - akan melabur sekurang-kurangnya RM500 juta untuk membuka kemudahan pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Johor.

Menurutnya, kejayaan tersebut adalah hasil kerja keras oleh pelbagai kementerian dan agensi terutamanya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk menarik pelaburan.

Semasa kunjungan Perdana Menteri ke Invest Malaysia New York, beliau juga bertemu Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Google, Ruth Porat, Presiden Global Boeing, Dr Brendan Nelson, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Medtronic, Geoff Martha serta Pengarah Urusan Global Siemens Healthcare, Tisha Boatman. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram