[VIDEO] Lari dari polis sampai terbabas, mat moto cuba 'hentak' anggota dicekup di Jerantut


  • Tular
  • Khamis, 21 Sep 2023

Tangkap layar seorang penunggang motosikal ditahan anggota polis di sebuah kawasan kediaman dekat Taman Inderapura, Jerantut, Pahang.

CUBAAN melarikan diri daripada anggota polis memakan diri apabila seorang penunggang lelaki terbabas dan ditahan dalam satu insiden berlaku di Taman Inderapura, Jerantut, Pahang pada Rabu.

Dalam satu video tular di laman media memaparkan individu terbabit yang dirakam menunggang laju dipercayai cuba meloloskan diri daripada anggota berkenaan.

Namun, akibat hilang kawalan dia kemudiannya terjatuh dan berjaya ditahan di sebuah kediaman lokasi berkenaan.

Meskipun cuba untuk menyerang polis berkenaan, lelaki berbaju hitam tersebut berjaya ditahan selepas dikepung tiga anggota yang berada di tempat kejadian.

Meraih lebih 10,000 jumlah tontonan, kejadian tersebut hangat diperkatakan.

Dalam pada itu, sebuah kenderaan polis turut kelihatan di lokasi berkenaan dengan dua lagi anggota wanita meluru ke arah penunggang tersebut.

Namun, warganet di ruangan komen rata-ratanya berpendapat ia hanyalah satu lakonan mesej khidmat masyarakat sebagai teladan buat orang ramai.

Sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan polis berhubung perkara itu dan orang ramai diminta untuk tidak membuat spekulasi berkaitan hal tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram