
MUSIM tengkujuh yang bakal tiba menimbulkan kebimbangan penduduk Orang Asli di Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan berikutan jalan balak yang merupakan satu-satunya laluan perhubungan mereka rosak akibat aktiviti sukan lasak dilakukan oleh peminat kenderaan pacuan empat roda (4WD) 4x4 di perkampungan tersebut.
Penghulu Pos Bihai Alang Segan, 50 berkata, kumpulan pacuan 4WD menggunakan laluan tersebut untuk memasuki perkampungan mereka bagi membawa bantuan ke pos-pos Orang Asli termasuk ke Pos Bihai, Pos Belatim dan Pos Balar.
Katanya, beliau bersyukur dengan bantuan dan keprihatinan yang diberikan oleh masyarakat luar kepada mereka, namun meminta pertimbangan agar ia dilakukan dengan penglibatan kenderaan dalam skala yang lebih kecil.
"Kami amat berterima kasih kerana orang luar sangat cakna dengan kebajikan kami tetapi saya mohon jika betul ada keperluan untuk masuk ke sini tidak perlulah sehinga 30, 40 kenderaaan datang serentak kerana ia merosakkan jalan.
"Buat masa sekarang apabila kerap hujan pada waktu petang saya harap aktiviti ini dapat dikurangkan atau ditangguhkan buat sementara waktu kerana kami perlu menggunakan jalan yang berkeadaan baik untuk keluar masuk,” katanya dalam satu kenyataan di Gua Musang pada Ahad.
Penduduk Kampung Tendrik, Pos Bihai, Apek Asud, 39 berkata, kini hampir 1,000 penduduk Orang Asli di pos berkenaan hanya dapat menggunakan motosikal untuk keluar dan masuk bagi menjalankan urusan seharian.
"Apabila jalan rosak begini adakalanya kami terpaksa bermalam di dalam hutan untuk keluar dan masuk ke perkampungan kami, biasanya hanya satu jam lebih sahaja masa diambil untuk ke bandar Gua Musang dengan motosikal pada waktu kemarau dan jika jalan tidak rosak.
"Saya tahu mereka datang membawa bantuan untuk kami dan saya amat hargai jasa semua, tetapi saya harap mereka kasihankan kami di sini kerana tidak berbaloi apabila terpaksa berhadapan dengan jalan rosak teruk dan merisikokan nyawa apabila terpaksa bermalam di dalam hutan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata, pihak berwajib dan pasukan 4x4 telah berulang kali diingatkan berkenaan penggunaan jalan utama masyarakat Orang Asli dalam penganjuran aktiviti mereka.
Beliau berkata, kerosakan yang berlaku pada jalan utama itu mengganggu kehidupan harian mereka terutamanya dalam urusan persekolahan anak, mendapat bekalan makanan serta perjalanan keluar masuk terutamanya ketika berlaku kecemasan untuk membawa pesakit.
"Saya syorkan deposit RM50,000 perlu diletakkan kepada mana-mana pasukan 4x4 untuk membuat aktiviti melibatkan laluan Orang Asli. Meskipun deposit berkenaan tidak mencukupi untuk membaiki jalan yang rosak namun sekurang-kurangnya mereka beringat dan berhati-hati sewaktu aktiviti lasak melibatkan laluan ini.
"Jika alasan menghantar bakul makanan, saya berpandangan sumbangan berkenaan boleh disalurkan pada Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah (PKOB) seliaan Pejabat Tanah dan Jajahan atau pada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) atau pada Pusat Khidmat ADUN Galas,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram