Generasi muda berisiko hilang identiti, warisan — Yayasan Hasanah


  • Massa
  • Sabtu, 16 Sep 2023

Yayasan Hasanah memberi nafas baharu kepada tekstil warisan seni.

RAKYAT Malaysia khususnya generasi muda berdepan risiko kehilangan warisan dan sebahagian identiti mereka apabila pengamal seni, budaya dan warisan yang masih tinggal kini semakin dimamah usia.

Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari berkata, keadaan itu menyebabkan banyak tekstil tradisional, dengan motif dan teknik tenunan warisan kini diambang kepupusan yang akhirnya nanti hanya tinggal sejarah.

"Menyedari perkara ini, sejak beberapa tahun lepas Yayasan Hasanah bekerjasama rapat dengan rakan kongsi di beberapa negeri di Malaysia memberi nafas baharu kepada tekstil warisan kita untuk mengembalikan semula kegemilangannya menerusi pelbagai usaha,” katanya pada majlis penyampaian Anugerah Benang Emas Hasanah, di Kuching, Sarawak.

Shahira berkata, Anugerah Benang Emas Hasanah yang julung kali diperkenalkan itu, bukan sahaja bertujuan untuk memelihara dan mempertahankan pembuatan pelbagai tekstil tradisional, tetapi juga meningkat kesedaran masyarakat untuk terus menghargai warisan seni kraf warisan ini.

"Misi hingga ke akar umbi ini sampai ke kemuncaknya pada Sabtu. Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan berbesar hati memperkenalkan Anugerah Benang Emas Hasanah dengan kerjasama Tanoti dan Persatuan Penggalakan dan Pembangunan Kraftangan Asean,” katanya.

Beliau berkata, budaya bukan sekadar artifak statik yang dipamerkan di muzium, sebaliknya ia ekspresi hidup bagi identiti sesuatu bangsa.

"Anugerah ini bertujuan menjadi pentas bagi para artisan menyinar dan memberi inspirasi kepada penciptaan karya yang mampu menambat hati dan jiwa rakyat Malaysia.

"Dengan menampilkan kemahiran mereka menerusi platform berprestij ini, kami juga berhasrat agar hasil kerja para artisan berkenaan terus mendapat pengiktirafan dan berjaya dipasarkan,” katanya.

Yayasan Hasanah merupakan sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional Berhad yang ditubuhkan pada 2015. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram