Pembaca berita veteran, Raymond Goh meninggal dunia pada usia 62 tahun


  • Massa
  • Selasa, 12 Sep 2023

Raymond Goh meninggal dunia sekitar pukul 10.40 pagi Selasa di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya, Selangor.

PEMBACA berita Nightline TV3, Raymond Goh, meninggal dunia sekitar pukul 10.40 pagi Selasa.

Berita duka tersebut disampaikan oleh isteri Allahyarham, Faridah Teh melalui satu kenyataan pada hari yang sama.

"Solat jenazah akan diadakan di Masjid At-Taqwa di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur selepas solat Asar dan jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada Selasa.

"Sekali lagi, keluarga Raymond ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan dan peminatnya atas curahan kasih sayang dan sokongan dalam tempoh yang mencabar ini," katanya.

Raymond Goh atau nama Islamnya, Muhammad Zaman Goh Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada usia 62 tahun di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya, Selangor.

Allahyarham dilaporkan kritikal selepas diserang angin ahmar dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut.

Raymond memulakan kerjaya sebagai penyampai berita di 7 O'clock News dan kemudian beralih kepada siaran Nightline di stesen televisyen berkenaan.

Allahyarham telah berkhidmat dalam dunia penyiaran lebih 30 tahun dan kini turut menjadi jurulatih untuk pengucapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram