[VIDEO] Ibu kecewa, cari peguam bela kes bayi kena cucuk vaksin sampai 18 kali ganda dos biasa


  • Tular
  • Jumaat, 08 Sep 2023

Seorang ibu kecewa apabila bayinya didakwa dicucuk dengan suntikan vaksin BCG melebihi dos biasa. — Gambar hiasan

PENGGUNA TikTok, Atikah Mukhtar, mendedahkan kecuaian seorang jururawat yang tersilap menyuntik bayinya sebanyak 18 kali ganda dos lebih daripada dos biasa diterima seorang bayi.

Menurut Atikah, bayi biasa akan disuntik vaksin Bacillus Calmette Gurrain (BCG) di lengan kiri sebanyak 0.05 mil bagi tujuan mencegah penyakit tuberkulosis (TB), tetapi anaknya yang sudah menerima suntikan itu di lengan, sekali lagi disuntik dengan jumlah yang tidak masuk akal iaitu 0.9ml (mililiter) di peha kanan bayi berkenaan.

Kecuaian seorang jururawat yang menyuntik vaksin terbabit di pusat rawatan swasta menyebabkan kaki bayinya bengkak sehingga dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Atikah berkata, pemeriksaan lanjut doktor ketika itu mendapati paha kanan bayinya mempunyai kesan benjolan yang mana mengandungi cecair nanah.

“Insiden itu menyebabkan saya terpaksa memberi fokus kepada komitmen membawa anaknya ke janji temu pemeriksaan bulanan sehingga mengambil keputusan cuti tanpa gaji selama dua tahun.

“Paling menyedihkan, pelaku sama sekali tidak meminta maaf dengan kecuaian yang dilakukan. Hanya pihak hospital itu saja yang minta maaf,” katanya menerusi video yang meraih lebih 320,000 tontonan.

Bercakap soal tindakan saman, Atikah berkata, dia sudah banyak kali mencari peguam untuk membela kes anaknya, tetapi rata-rata peguam tidak mahu mengambil kes tersebut kerana kondisi anaknya yang sekarang sudah pulih dan sihat.

Bagaimanapun, Atikah bimbang kes yang sama bakal terjadi kepada orang lain hanya disebabkan tiada yang mahu mengetengahkan isu terbabit.

“Tapi malangnya, peguam berikan jawapan yang lebih kurang sama yang mana kami mungkin tidak akan menang kes disebabkan keadaan anak kami yang sekarang sudah sihat selepas pernah menerima rawatan yang lalu.

“Tapi saya risau, keadaan anak saya pada masa hadapan, mungkin bukan sekarang, tapi kita tidak tahu kesan sampingan terhadap anak pada masa akan datang.

“Sebab itu, saya mahu mengambil tindakan secara sah, takkan nak tunggu kes yang sama terjadi dekat anak orang lain pula. Takkan nak tunggu berlaku kecacatan atau kematian dekat anak orang lain baru nak ada tindakan, ini berkaitan dengan nyawa,” katanya.

Atikah mendakwa, kejadian itu adalah yang pertama berlaku di Malaysia yang menyebabkan dia belum menjumpai cara menanganinya, di samping para doktor sendiri tidak pasti apakah kesan sampingan yang akan berlaku kepada anak Atikah pada masa hadapan.

“Kes begini cuma pernah berlaku di luar negara,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet bersetuju tindakan saman perlu diambil.

"Tapi macam biasa Malaysia mana cakna bab tu kalau luar negara dah saman menyaman. Malaysia orangnya suka reda selagi tak jadi apa-apa," kata yahanana.

"BCG di paha?? selama 17 tahun kerja di bahagian BCG cucuk di lengan kiri," kata mizaniq98.

"Tak saman ke hospital swasta tu," persoal Julia Ahmad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram