MUATAN pokok teratai yang berlebihan dipercayai punca bot terbalik mengakibatkan dua beranak lemas di sebuah kolam takungan di Taman Cahaya Sungai Chua, Kajang, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, muatan berlebihan bot itu dipercayai telah menyebabkannya hilang imbangan dan terbalik.
Dalam kejadian pada kira-kira 2 petang itu, bot dinaiki Mohd Adnan Johdi, 50, serta dua anak lelakinya Hakimi, 15, dan Mohamad Mustaqkim, 17, terbalik ketika mereka melakukan kerja membersihkan kolam takungan tersebut, namun Mohamad Mustaqkim terselamat.
"Mangsa yang melakukan kerja-kerja pembersihan pokok teratai di dalam tasik (kolam takungan) sejak pagi sehingga kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan.
Katanya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu, untuk berhubung dengan pegawai penyiasat kes Sarjan Ariffin di Balai Polis Kajang.
Mayat Mohd Adnan ditemukan kira-kira lima kilometer dari lokasi bot mereka tenggelam pada 5.12 petang, manakala mayat Hakimi ditemukan kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian pada 6.56 petang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram