
KERAJAAN akan menyediakan bantuan yang diperlukan oleh keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam pada Khamis yang mengorbankan 10 nyawa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi meringankan beban keluarga, terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.
"Sekarang ini kita bagi semua bantuan yang diperlukan untuk uruskan jenazah, semua kelengkapan dan penginapan. Selain itu kerajaan berikan bantuan kepada keluarga untuk menampung (keperluan), terutama yang tidak mempunyai pekerjaan tetap bagi pihak keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa tragedi itu di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pada Jumaat.
Perdana Menteri turut memaklumkan proses bedah siasat dan proses pengesanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap 10 mangsa yang terkorban dalam nahas itu, akan dipercepat bagi memudahkan pengurusan jenazah.
"Saya ucapkan takziah kepada keluarga dan minta supaya bersabar, tiada siapa boleh jangka cuma yang dilakukan sekarang ialah mempercepatkan proses forensik dan ujian DNA.
"Sebaik selesai semua, (jenazah) akan diuruskan oleh kerajaan sama ada Majlis Agama, Kerajaan Selangor dan jabatan berkenaan. Kita akan bantu meringankan beban keluarga,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata, beliau yang mengikuti perkembangan kes tersebut sejak Khamis, bersyukur dengan kelancaran operasi yang dijalankan oleh agensi terbabit, selain meluahkan rasa bangga dan mengucapkan terima kasih kepada semua anggota terlibat.
Mengulas mengenai kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai bagi negeri Pahang, ekoran penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, salah seorang mangsa yang maut dalam insiden tersebut, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan kemudian.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara pemimpin yang hadir di lokasi sama bagi menziarahi waris mangsa.
Turut hadir Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Pada Khamis, 10 lelaki disahkan maut dalam kejadian pesawat terhempas di Elmina yang terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.
Ketika kejadian pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada pukul 2.48 petang. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram