MAHKAMAH Sesyen Muar, Johor pada Isnin menjatuhi hukuman penjara berjumlah 702 tahun dan 234 sebatan ke atas seorang lelaki yang tergamak merogol serta melakukan amang seksual terhadap dua anak kandungnya sehingga seorang daripada mereka mengandung.
Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan itu selepas tertuduh, yang berusia 53 tahun, mengaku bersalah terhadap 19 pertuduhan merogol serta 11 pertuduhan melakukan amang seksual ke atas kedua-dua mangsa ketika mereka berumur 9 dan 10 tahun.
Bagaimanapun, pekerja pembersihan itu hanya perlu meringkuk dalam penjara selama 42 tahun selepas mahkamah memerintahkan hukuman untuk semua kesalahan berjalan serentak iaitu dari tarikh dia ditangkap pada 10 Julai lepas.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu di dua rumah iaitu di Bakri serta Jalan Jeram Tepi, Muar sejak 2018 dan kali terakhir pada 9 Julai lepas.
Bagi kesalahan merogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan 10 sebatan.
Bagi kesalahan melakukan amang seksual pula, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta Kesalahan Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan meninggalkan trauma sepanjang hayat kepada kedua-dua anaknya kerana dirogol sejak kecil.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan dia telah insaf dan menyesali perbuatannya.
Mahkamah menjatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 10 sebatan untuk setiap pertuduhan merogol.
Bagi pertuduhan melakukan amang seksual pula, mahkamah menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan empat sebatan bagi setiap pertuduhan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram