KERAJAAN membuaat keputusan untuk membatalkan pembinaan lapangan terbang di Pulau Tioman, Pahang selepas mendapati ia berpotensi memberikan impak negatif yang ketara kepada alam sekitar.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkara itu diputuskan oleh Jemaah Menteri selepas mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) pada Rabu.
“Daripada laporan EIA, kementerian mendapati cadangan itu berpotensi memberikan impak negatif yang sangat ketara kepada kualiti alam sekitar khususnya terhadap penerima sensitif di sekitar Pulau Tioman termasuk ekologi marin sekiranya diteruskan.
“Oleh itu Mesyuarat Jemaah Menteri secara dasarnya bersetuju tidak meneruskan pembinaan lapangan terbang antarabangsa Tioman baharu yang melibatkan 76 peratus kawasan tambakan laut,” katanya dalam satu kenyataan.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Nik Nazmi berkata, keputusan tidak meneruskan cadangan pembangunan lapangan terbang itu selari dengan misi kementerian untuk mengutamakan pemeliharaan, pemuliharaan dan penggunaan sumber asli serta alam sekitar secara optimum dan bertanggungjawab.
Katanya, kementerian mengambil maklum kebimbangan dibangkitkan kerana penebusan kawasan perlindungan marin bakal mengakibatkan kemusnahan terumbu karang yang merupakan habitat penting pelbagai spesies hidupan laut.
“Walaupun hasrat pembinaan lapangan terbang baharu adalah untuk menarik lebih ramai pelancong, namun ia akan merosakkan tarikan semula jadi Pulau Tioman yang membawa kepada pelancongan tidak mampan,” katanya.
Pada 14 Julai lalu, Nik Nazmi berkata, kementeriannya akan meneliti laporan EIA berhubungan cadangan pembangunan lapangan terbang baharu di Pulau Tioman.
Media sebelum ini melaporkan bahawa projek berkenaan berisiko menyebabkan kerosakan fizikal dan kehilangan habitat kepada ratusan hidupan marin di kawasan itu.
Laporan EIA Jabatan Alam Sekitar turut mengenal pasti 120 spesis batu karang keras dan 12 spesis batu karang lembut terancam di kawasan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram