HANYA kerana ingin memutuskan hubungan, seorang wanita cedera ditikam teman lelakinya dalam satu kejadian di kawasan parkir sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa, Ampang, Kuala Lumpur pada Ahad lalu.
Difahamkan,lelaki tersebut tidak berpuas hati dengan permintaan wanita berkenaan untuk mengakhiri perhubungan percintaan mereka.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu pukul 2.52 pagi.
Ketika kejadian, mangsa yang berusia 45 tahun berada dalam kereta sebelum didatangi teman lelakinya.
“Suspek bertindak memancitkan tayar sebelum memecahkan cermin hadapan kereta mangsa. Wanita itu melarikan diri, namun suspek mengejar dan mencederakan kekasihnya.
“Mangsa yang merupakan orang tempatan luka di bahagian tengah, kiri perut dan lengan kiri sebelum dibawa ambulans ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Mohd. Azam, mangsa baru mengenali suspek sejak tiga bulan lalu melalui laman sosial.
Mohd. Azam berkata, suspek berusia 41 tahun itu sudah dikenal pasti identitinya dan usaha mengesan serta menangkap lelaki itu masih dijalankan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
