Kongsi khabar duka, Chef Wan dedah hidap kanser limfoma


  • Massa
  • Khamis, 03 Ogos 2023

Chef Wan berkata, beliau bakal memulakan rawatan dalam masa terdekat dan kanser limfoma yang dihidapi mungkin masih berada pada peringkat awal.

CHEF selebriti, Datuk Redzuawan Ismail disahkan menghidap kanser limfoma pada Khamis

Beliau yang lebih dikenali dengan nama Chef Wan berkongsi kisah duka tersebut melalui satu hantaran Instagram peribadi miliknya.

Katanya, beliau bakal memulakan rawatan dalam masa terdekat dan kanser limfoma yang dihidapi mungkin masih berada pada peringkat awal memandangkan setakat ini, beliau masih sihat dan tidak mengalami sebarang simptom.

“Pada pukul 3 petang tadi (Khamis), saya menerima diagnosis daripada doktor yang mengesahkan saya menghidap kanser limfoma.

“Saya bakal melakukan imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET) untuk melihat sama ada kanser tersebut telah merebak ke organ-organ lain.

"Kanser tersebut mempunyai peluang sembuh sebanyak 70 hingga 80 peratus sekiranya dikesan awal. Doktor juga akan memulakan kemoterapi yang mungkin mengambil masa selama 13 minggu," katanya lagi.

Tambah Chef Wan dalam nada seloroh, dia sudah bersedia untuk menggayakan rambut palsu seperti Elvis, M. Daud Kilau apabila mengalami keguguran rambut selepas ini.

Dalam pada itu, Chef Wan berkata, beliau menerima takdirnya dengan hati yang terbuka dan akan terus kuat demi keluarga tercinta.

“Anak dan menantu saya terus menangis selepas mendapat tahu saya menghidap kanser. Tetapi, beginilah hidup. Kita perlu jalani setiap cabaran satu demi satu dengan hati yang terbuka.

“Kepada semua, jangan risau. Terima kasih atas doa kata-kata semangat,” katanya dalam hantaran berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram