Perintah berkurung pesisir laut Sabah dilanjutkan sehingga 5 Januari


  • 112
  • Selasa, 20 Dis 2022

Idris berkata, perintah berkurung dari pukul 6 petang hingga 6 pagi itu melibatkan Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna and Tawau. — Bernama

PERLAKSANAAN perintah berkurung di beberapa kawasan di pesisir laut Sabah yang bakal berakhir pada Khamis akan dilanjutkan selama 14 hari lagi iaitu sehingga 5 Januari depan.

Perintah berkurung kali ke-201 di bawah Seksyen 31(4) Akta Polis 1967 mula dilaksanakan pada 16 Julai 2014.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, perintah berkurung dari pukul 6 petang hingga 6 pagi itu melibatkan Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna and Tawau.

Lanjutan perintah berkurung, tambahnya, diperlukan berikutan ancaman sedia ada daripada penjenayah rentas sempadan termasuk kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan (KFR).

Beliau menegaskan bahawa perintah berkurung itu diperlukan bagi memastikan pengganas atau penjenayah dari selatan Filipina tidak menceroboh perairan Malaysia sekali gus memastikan keselamatan penyelidik antarabangsa atau pelancong asing yang melancong di pulau-pulau luar Sabah.

“Hasil maklumat risikan mendedahkan kumpulan militan Abu Sayyaf dan pihak yang menjalankan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan (KFR) dari selatan Filipina masih cuba menceroboh bagi melakukan penculikan serta jenayah rentas sempadan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya pelanjutan ini juga bertujuan untuk menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka yang berada di bahagian daratan kawasan ESSZONE.

“Dengan pelaksanaan perintah ini juga akan mampu memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet serta nelayan dengan kehadiran kapal anggota keselamatan di sekitar kawasan mereka.

"Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung yang mendesak,” katanya.

Perintah berkurung itu dikuatkuasakan berikutan beberapa kejadian penculikan yang menyaksikan kepala warga Sarawak, Bernard Then Ted Fen yang dipenggal serta kes pembunuhan yang lain, termasuk seorang anggota polis dan pelancong. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram