
KANAK-KANAK lelaki berusia 10 tahun yang dilaporkan hilang di kawasan Pantai Teluk Senangin, Lumut, Perak pada Sabtu ditemukan meninggal dunia.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Faris Irfan ditemui nelayan pada 8.20 pagi, Ahad.
"Mangsa ditemui kira-kira dua batu nautika berhampiran Tanjung Hantu dari lokasi mangsa dipercayai hilang.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tamat sepenuhnya pada pukul 9 pagi, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sabarodzi berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada pukul 3.19 petang semalam (Sabtu) selepas ahli keluarga mangsa membuat laporan polis apabila menyedari kehilangannya kira-kira pukul 1 tengah hari.
Operasi SAR dimulakan sejurus selepas itu dan ditangguhkan pada 6.30 petang, namun katanya pencarian dimulakan semula pada malam harinya susulan maklumat baharu diterima pihak bomba.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram