PENYANYI kelahiran Irish, Sinead O'Connor atau nama Islamnya, Shuhada Sadaqat meninggal dunia pada usia 56 tahun di kediamannya di Lambeth, London, England.
"Dengan amat berat hati, kami ingin mengumumkan pemergian Sinead kesayangan kami.
"Keluarga dan teman rapatnya sangat terkesan dengan pemergiannya dan meminta diberikan ruang menghadapi ujian getir ini," kata wakil keluarga penyanyi itu pada Rabu.
Laporan antarabangsa melaporkan, punca dan tarikh kematian penyanyi yang cukup dikenali menerusi single Nothing Compares 2 U pada 1990 itu, tidak didedahkan.
Memetik laporan The Irish Sun, O'Connor ditemukan tidak bernyawa di lokasi kejadian dan tiada unsur-unsur mencurigakan dalam kematiannya.
Namun, ada yang mengaitkan dengan kesihatan mentalnya sejak kematian anak lelakinya, Shane, 17, yang menamatkan riwayat hidup, tahun lalu.
Kematian Shane amat memberi kesan kepadanya sehingga membuat keputusan membatalkan semua persembahannya sepanjang tahun lalu.
Dia dipercayai mengalami kemurungan berikutan kematian anaknya itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram