Anggota Rela halang wanita pakai skirt pendek masuk pejabat Perkeso P. Pinang kena gantung tugas 


  • Massa
  • Jumaat, 30 Jun 2023

May dihalang oleh seorang anggota Rela daripada memasuki bangunan Perkeso dengan alasan dia berpakaian tidak sopan. — Gambar/Malaysiakini

SEORANG Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) digantung tugas selepas didakwa cuba menghalang seorang pelawat daripada memasuki sebuah pejabat kerajaan di Pulau Pinang kerana cara berpakaiannya.

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed turut menafikan pihaknya ada mengeluarkan arahan untuk menghalang wanita berpakaian skirt itu daripada memasuki pejabat mereka.

“Perkeso memandang serius isu tindakan luar jangka yang dilakukan oleh pengawal keselamatan berkenaan.

“Kami ingin menegaskan bahawa apa yang berlaku adalah di luar pengetahuan pihak pengurusan.

"Sehubungan itu, Perkeso mengambil tindakan serta-merta ke atas petugas Rela tersebut dengan meminta penjelasan dan arahan menggantung tugas telah dikenakan berkuat kuasa Khamis sehingga siasatan kes ini selesai," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohammed Azman Aziz nafi keluarkan kenyataan menghalang wanita itu memasuki pejabat mereka.

Media sebelum ini melaporkan, peguam, Ajit Singh Jessy mendakwa seorang pengawal keselamatan menghalang rakan sekerjanya, yang hanya ingin dikenali sebagai May daripada memasuki pejabat Perkeso.

May difahamkan berada di pejabat itu atas tujuan mendaftar pembantu rumahnya dengan Perkeso.

Ajit Singh dilaporkan sebagai berkata, sebaik tiba, mereka dihalang oleh pengawal di pintu masuk dengan alasan bahawa pakaian May adalah tidak sopan.

"Saya dan May tanya apa yang salah kerana skirtnya sehingga lutut. Dia kata peraturan harus sehingga paras kaki.

“Selepas berterusan mendesak untuk mengetahui apa yang tidak kena dengan skirt itu, dia jawab, 'ini kali ok, lain kali tak boleh'," ujarnya dalam satu kenyataan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram