PROSES pembangunan di Kelantan yang berpunca daripada conflict of interest atau konflik berkepentingan dalam pentadbiran, telah mencorak satu sistem yang tidak menyumbang kepada pembangunan negeri itu, luah seorang anak jati negeri itu.
Menerusi satu hantaran di Facebook , Fadhli Bin Illias berkata, sistem yang dicipta hanya bermatlamatkan untuk mendapatkan sokongan politik dan mengekalkan kuasa.
Katanya, ini termasuk jalan yang hanya akan diperbaiki sebelum pilihan raya, namun setelah sesi itu berakhir, jalan terbabit akan kembali berlubang dan perkara sama akan berulang.
“Pernah terfikir kenapa masalah berkaitan rakyat seperti pengurusan sampah tidak pernah selesai?
“Tong-tong sampah seakan menjadi sebahagian dari ‘penyeri’ landskap di sepanjang jalan? Masalah parking di bandar yang sentiasa menghantui rakyat? Sektor pelancongan yang tidak rancak walaupun kaya dengan budaya dan warisan?
Sebahagian hantaran yang dimuat naik oleh Fadhli. — Facebook
“Pengurusan dan pentadbiran sebegini adalah sebahagian dari puncanya. Tidak ada yang mengkaji kelemahan, potensi, peluang dan kelebihan sesuatu tempat dan lokasi,” katanya yang khuatir dengan pengurusan pembangunan di Kelantan.
Dalam hantarannya itu, Fadhli turut berkongsikan gambar beberapa pemimpin PAS termasuk Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang melawat kawasan bermasalah di Parlimen masing-masing.
Hantarannya itu menerima lebih 1,000 tanda suka dan dikongsi lebih 500 kali.
Bercakap mengenai pengurusan jalan, Fadhli berkata, ia sepatutnya menjadi refleksi gaya hidup, budaya dan identiti kepada sesuatu tempat.
Katanya, reka bentuk jalan juga seharusnya memberi respon kepada kepelbagaian aktiviti dan fungsi sesebuah jalan.
Antara tanah-tanah terbiar di kiri dan kanan jalan di Kelantan. — Facebook
Tambahan pula, katanya, pembinaan jalan di zaman moden itu juga perlu hadir dengan pakej kemudahan infrastruktur seperti saliran air, longkang, elektrik, wayar komunikasi dan sebagainya.
“Kemudahan bawah tanah perlu selari dengan apa yang ada di permukaan jalan bagi memudahkan proses koordinasi dan penyelenggaraan.
“Dengan kata lainnya, nak buat jalan ini ada ilmu, proses dan design principle and elements (prinsip dan elemen reka bentuk) tersendiri.
“Barulah terhasilnya sebuah kampung dan bandar yang kemas dan teratur. Bukan boleh main buat dan tarah sahaja,” katanya yang juga graduan arkitek dan sarjana dalam bidang reka bentuk bandar.
Status Facebook Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli berkenaan tinjauan okasi tanah mendap. — Facebook
Pada masa sama, Fadhli berkata, respon pihak berkaitan mengenai permintaan penduduk supaya membina jalan baharu menerusi Facebook nampak seperti membantu dan menyelesaikan masalah.
Namun, bagi jangka masa panjang, katanya, orang ramai boleh melihat betapa tidak tersusun dan tidak cantiknya kampung-kampung di Kelantan akibat pembinaan jalan yang tiada perancangan rapi.
“...ambo (saya) tertanya-tanya kemanakah perginya segala proses dan sains di sebalik fungsi sebuah jalan di negeri ambo.
“Kalau begini caranya, anda rasa ada ke pasukan yang membuat analisa merangkumi aspek seperti ‘land use and legibility, connectivity, cultural connectivity, demographics & SWOT analysis’ kawasan setempat? Apa pula panduan yang digunapakai?
“Ambo tok fikir pasukan penghulu dan segala lantikan politik di pusat khidmat ahli Yang Berhormat mampu berurusan dengan alam berlandaskan disiplin ilmu dan kepakaran yang betul. Asal ada jalan. Asal ado jah ore kato,” katanya kesal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram